+603-5521 8580 info@sidec.com.my

1 Julai 2021, Shah Alam – Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, permohonan untuk Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor telah menunjukkan sambutan yang positif daripada peniaga-peniaga di Selangor.

Permohonan untuk kumpulan pertama pada bulan April hingga pertengahan Jun yang lepas telah menyaksikan sebanyak RM1.2 juta diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor untuk hampir 300 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata, jawatankuasa penilaian khas geran telah meluluskan sebanyak 280 pemohon daripada 492 permohonan untuk kumpulan pertama.

“Bilangan permohonan  selari dengan sasaran kami iaitu untuk memanfaatkan 1,000 PKS pada tahun ini,” katanya hari ini.

“Selangor adalah satu-satunya kerajaan negeri yang memberikan usaha yang lebih untuk mempercepatkan transformasi digital di kalangan PKS dan kita telah meningkatkan tahap kecekapan dengan memberi geran dalam waktu yang singkat kepada PKS yang memerlukan proses digitalisasi akibat pandemik Covid-19.”

Teng juga mengumumkan bahawa PKS boleh mula mendaftar untuk kumpulan kedua pada 1 Ogos 2021, manakala Pembekal Perkhidmatan Digital (DSP) dijemput untuk memohon sebagai pembekal perkhidmatan yang sah untuk kumpulan kedua geran ini bermula hari ini, 1 Julai 2021.

Tarikh tutup permohonan DSP adalah pada 16 Julai 2021 (Jumaat), 12 tengah hari. DSP boleh memohon dengan melayari:

https://www.sidec.com.my/selangorsmegrant2021

Pemasaran Digital paling popular

Sementara itu, Teng berkata bahawa geran ini telah mencapai beberapa sasaran dengan tidak hanya mempercepatkan transformasi digital PKS, tetapi juga membantu perkembangan startup tempatan dan syarikat perisian perkhidmatan (SaaS), serta meningkatkan kadar penggunaan Sistem Akaun (Cloud Accounting).

Teng juga berkata bahawa daripada permohonan tersebut, sebanyak 31.8% PKS telah memohon untuk Pemasaran Digital, diikuti dengan 25.4% permohonan untuk Sistem Akaun, dan 16.6% telah memohon untuk mendigitalisasikan Sistem Sumber Manusia (HR and Payroll System) mereka.

Bantuan tambahan dihargai

Sementara itu, Teng menyambut baik peruntukan RM300 juta yang diumumkan oleh Putrajaya bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan transaksi tanpa tunai di bawah pakej Pemulih yang baharu.

Ini termasuk RM200 juta untuk meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk Geran Digitalisasi PKS.

“Kami mengalu-alukan kempen Shop Malaysia Online dan Geran Digitalisasi PKS yang serupa dengan Kempen Selangor E-Bazar dan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor kami. Oleh kerana Selangor mempunyai jumlah PKS yang tertinggi di Malaysia, kami amat menghargai bantuan tambahan ini.”

Selangor, tambah Teng, berbangga kerana telah menganjurkan empat pusingan Kempen Selangor E-Bazar yang menjana jualan terus berjumlah RM144.7 juta dan mewujudkan kesan riak sebanyak RM2.95 bilion untuk ekonomi negeri Selangor.

Seramai 294,119 penjual termasuk 74,837 penjual baharu telah mendapat manfaat melalui kempen ini.

“Geran dan kempen-kempen yang sedia ada hanyalah satu permulaan, lebih banyak usaha dan sumber diperlukan untuk mempercepatkan lagi pelaksanaan teknologi digital di kalangan PKS tradisional untuk mengautomasikan dan menggabungkan pelbagai kepintaran untuk fungsi-fungsi perniagaan yang penting.”

Teng menjelaskan ini kerana PKS juga dibebani dengan tekanan pekerja, kekurangan kepakaran, kekurangan strategi digitalisasi secara keseluruhan dan bajet yang terhad.

“900,000 PKS memerlukan penambahbaikan dalam struktur jangka panjang mereka, oleh itu kami memerlukan penyelesaian ekosistem yang komprehensif melalui kerjasama pemerintah pusat dan negeri, sektor perniagaan, komuniti teknologi serta institusi pendidikan.”

RM5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor ini bagi menggalakkan lebih ramai PKS di negeri ini mendigitalisasikan perniagaan mereka untuk terus bertahan ketika wabak Covid-19.

Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) merupakan urusetia bagi geran ini.

Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan 50% geran padanan atau maksima RM5,000 kepada PKS di negeri Selangor untuk melanggan perkhidmatan digital dalam lima bidang digitalisasi yang ditawarkan iaitu E-Dagang, Sistem Sumber Manusia (HR and Payroll System), Sistem

Akaun (Cloud Accounting), Pemasaran Digital dan Sistem Electronic Point of Sale (E-PoS) & Payment Gateway.

Sementara itu, para pembekal perkhidmatan digital yang berminat memohon untuk Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor harus memenuhi syarat kelayakan tersebut:

 

  1. Syarikat berdaftar di bawah undang-undang Malaysia yang berkaitan
  2. Syarikat sekurang-kurangnya 51% dimiliki oleh rakyat Malaysia
  3. Syarikat yang beralamat atau beroperasi di Selangor
  4. Modal berbayar sekurang-kurangnya RM100,000
  5. Syarikat telah beroperasi melebihi 3 tahun atau berjaya melaksanakan penyelesaian digital kepada sekurang-kurangnya 100 syarikat yang diyakini.