+603-5521 8580 info@sidec.com.my

19 Mac 2022, Gombak, Selangor – Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari telah merasmikan Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin dalam ucapan perasmiannya berkata, program jelajah anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) ini adalah amat menepati salah satu daripada empat domain utama inisiatif Smart Selangor iaitu domain ekonomi pintar atau Smart Economy.

“Kerajaan Negeri beraspirasi untuk menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri pintar dan berdaya huni pada peringkat ASEAN menjelang tahun 2025.”

Dalam ucapannya, Amirudin turut berkongsi bahawa berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan bagi e-dagang pada tahun 2021 direkodkan sebanyak RM1.09 trilion, peningkatan sebanyak 61.6 peratus berbanding 2019 sebelum Covid-19 melanda (RM675.4 bilion).

Melalui program seperti Jelajah Usahawan Digital Selangor, Amirudin berharap agar lebih ramai penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS) ataupun pelajar, graduan serta komuniti setempat akan didedahkan dengan kelebihan bidang e-dagang dan pendigitalan.

“Kepada semua peserta, gunakanlah peluang hari ini untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat daripada pakar-pakar industri digital dan e-dagang yang turut serta dalam program jelajah ini untuk meningkatkan kemahiran anda.

“Saya berharap lebih banyak perniagaan IKS terutamanya di bandar peringkat kedua atau kawasan separa bandar dapat mendigitalisasikan perniagaan mereka,” kata Amirudin.

Menurut Amirudin juga, sektor ekonomi digital negara memerlukan lebih kurang 1.5 juta bakat digital. Namun, buat masa sekarang, pasaran cuma hanya ada dalam 50% bakat dan kemahiran dalam sektor ekonomi digital.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bakat digital ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Sidec bakal melancarkan Sekolah Digital Selangor (SDS) dengan kerjasama bersama The Hive SEA dan Universiti Selangor (UNISEL).

Menurut Encik Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif, Sidec Sdn Bhd, Jelajah Usahawan Digital Selangor adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada warga Selangor mengenai dunia digital dan memberi khidmat bantuan serta dorongan kepada syarikat tempatan di Selangor yang ingin mula melibatkan diri dalam industri e-dagang.

Program jelajah ini telah diperkenalkan pada awal tahun 2020 dan empat siri telah diadakan dalam tahun tersebut dengan penyertaan seramai 670 orang peserta secara keseluruhan.

Bertemakan “Kuasai Dunia Perniagaan Digital”, program jelajah tahun ini diharapkan dapat mendedahkan dan mempromosikan e-dagang dan pendigitalan kepada komuniti setempat di lima daerah yang berbeza di Selangor iaitu Gombak, Shah Alam, Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 Siri 1: Gombak mempunyai sembilan rakan kerja iaitu PG Mall, EasyStore, Dropee, Lazada, J&T, Hijrah Selangor, SELDEC, SSM dan Shopee.

Tambah Yong, Kerajaan Negeri Selangor melalui Sidec pada minggu lepas telah berkesempatan untuk membawa beberapa syarikat startup didikan program Sidec ke Dubai untuk sesi pitching bagi menarik minat pelabur asing untuk melabur dalam perniagaan e-dagang mereka.

Dalam tahun ini juga, Kerajaan Negeri Selangor dan Sidec akan terus membuat lawatan ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk mempromosikan peluang perniagaan dan pelaburan di negeri Selangor.

Selain daripada program jelajah ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Sidec juga giat dalam merealisasikan beberapa inisiatif utama seperti program Kelas E-Dagang, Kempen E-Bazar, Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor dan Selangor Accelerator Programme.

Tahun lalu, Kelas E-Dagang Sidec telah berjaya menjalankan 15 kelas dan mencapai lebih daripada 48% jumlah kehadiran iaitu 4,429 peserta berbanding sasaran pendaftaran pada 3,000 orang.

Tahun ini, kelas pertama Kelas E-Dagang Sidec akan bermula pada 29 Mac dengan modul pertama iaitu “Memulakan Perniagaan E-Dagang”.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://www.sidec.com.my.