10 Mei 2021, Shah Alam – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, tarikh tutup permohonan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor telah dilanjutkan ke 15 Jun 2021.

Maklumbalas dari kebanyakan PKS adalah Perintah Kawalan Pergerakan secara tidak langsung memberi kesan besar ke atas operasi PKS yang bertungkus-lumus untuk memulihkan perniagaan mereka akibat daripada wabak Covid-19. Atas sebab ini, mereka memerlukan lebih masa untuk menyiapkan permohonan untuk Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor.

Justeru itu, adalah diharapkan agar lanjutan tarikh tutup permohonan geran ini dari 15 Mei ke 15 Jun dapat membantu lebih banyak PKS Selangor untuk memacu perniagaan mereka melalui jangkauan digitalisasi.

Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari telah melancarkan geran padanan ini pada 12 April 2021 untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sejak pembukaan pendaftaran pada 15 April 2021, geran ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan di mana 200 permohonan telah diterima setakat 10 Mei 2021.

Antara 5 bidang digitalisasi utama yang ditawarkan adalah E-Dagang, Sistem Sumber Manusia, Sistem Perakaunan, Pemasaran Digital serta Sistem Electronic Point of Sale (E-PoS) dan Payment Gateway.

Syarat-syarat kelayakan untuk PKS:

  • Berdaftar di bawah undang-undang yang berkaitan di Malaysia
  • Syarikat sekurang-kurangnya 51% dimiliki oleh rakyat Malaysia
  • Untuk PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
  • Sudah beroperasi sekurang-kurangnya selama 1 tahun
  • Harus mempunyai perolehan jualan tahunan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
  • Terhad kepada 1 permohonan bagi setiap PKS sahaja. PKS dibenarkan memohon untuk 3 perkhidmatan digital dengan 1 atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan oleh Sidec.

Untuk maklumat lanjut Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor, sila layari
https://www.sidec.com.my/selangorgrant2021/