+603-5521 8580 info@sidec.com.my

24 Mac 2022, Shah Alam, Selangor – Sekolah Digital Selangor (SDS) bakal dilancarkan untuk menjadi pusat dan platform untuk ekosistem bakat digital berkemahiran tinggi.

Sektor ekonomi digital negara memerlukan lebih kurang 1.5 juta bakat digital. Namun, pada ketika ini, pasaran hanya mempunyai dalam 50% bakat dan kemahiran dalam sektor ekonomi digital.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bakat digital ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) bakal melancarkan Sekolah Digital Selangor (SDS) atau dalam Bahasa Inggeris Selangor Digital School (SDS), dengan kerjasama bersama Universiti Selangor (UNISEL) dan The Hive Asia Tenggara (The Hive SEA).

Memorandum Persefahaman antara UNISEL dan The Hive SEA telah disempurnakan dalam satu majlis pemeteraian yang disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan Encik Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Sdn Bhd di sini hari ini.

Memorandum persefahaman itu telah ditandatangani oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Bin Othman dan Pengarah Urusan The Hive SEA, Yang Dimuliakan Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Bin Syed Anwar Jamalullail.

Sekolah Digital Selangor (SDS) adalah satu platform pembelajaran digital khususnya untuk memudahkan pekerja profesional dan graduan memperoleh kemahiran teknologi yang amat diperlukan dan mengisi jurang dalam pasaran kerja digital.

Dengan adanya penubuhan institusi pengajian SDS ini, kursus-kursus berkaitan digitalisasi yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan digital dapat ditawarkan dengan harga yang berpatutan serta mendapat pengesahan daripada Institusi Pengajian Tinggi. 

Diharapkan melalui SDS, lebih banyak bakat dan pekerja mahir dalam bidang digital dapat dilahirkan untuk mengurangkan jurang pasaran pekerjaan dalam bidang ekonomi digital. Kelak, SDS akan menjadi pusat dan platform untuk ekosistem bakat digital berkemahiran tinggi.

Antara kelebihan SDS adalah:

  • Kursus yang mudah diakses dengan harga berpatutan dan direka khas untuk membantu individu meningkatkan kemahiran dan mengisi jurang pasaran kerja digital.
  • Pekerja profesional dan graduan akan dapat meningkatkan kebolehpasaran, melatih semula (reskill) dan meningkatkan kemahiran (upskill).
  • Pelajar boleh mendapatkan kemahiran digital melalui gabungan teori dan latihan praktikal dengan pakar industri dan universiti melalui pendekatan penyelesaian masalah.
  • Semua pembelajaran akan dilakukan secara atas talian dan kelas fizikal, atau hibrid dengan gabungan latihan di tempat kerja (on-the-job training).
  • Selepas tamat pengajian, pelajar akan menerima sijil yang diiktiraf dan diperakui oleh badan berkaitan untuk kursus pendek, Diploma dan/atau Ijazah yang ditawarkan.
  • Pemadanan industri untuk menghubungkan pelajar dengan rakan kongsi atau majikan daripada industri teknologi.

Sidec bersama The Hive SEA akan mencipta platform Edutech untuk menyelesaikan ketidakpadanan pemohon kerja dan majikan dalam industri, dan UNISEL adalah sebagai rakan strategik untuk menyediakan pengesahan industri, kepakaran dalam sistem pendidikan dan pemindahan pengetahuan dengan rakan kongsi industri dalam Ekosistem The Hive SEA.