+603-5521 8580 info@sidec.com.my

1 Februari 2021, Shah Alam – Peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro dijemput untuk mendaftar di platform Shopee dan Lazada bagi Kempen Selangor E-Bazar CNY yang bermula hari ini sehingga 7 Mac 2021.

Peniaga PKS dan peniaga mikro perlu mendaftar di platform Shopee dan Lazada untuk menikmati baucar diskaun daripada kerajaan Selangor yang berjumlah RM2 juta.

Syarat utama adalah alamat perniagaan mesti berdaftar di negeri Selangor beserta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Shopee dan Lazada.

Mereka yang berminat boleh menekan pautan di laman web Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) di pautan www.sidec.com.my/ebazarcny.

Di halaman tersebut, anda boleh memilih untuk mendaftar sebagai peniaga dan mengisi borong di Shopee, Lazada atau kedua-duanya.

Setelah anda mengisi borang tersebut, anda akan menerima emel pengesahan dari Shopee atau Lazada berkenaan penyertaan anda sebagai peniaga untuk kempen ini.

Kempen Selangor E-Bazar CNY telah dilancarkan pada 26 Januari 2021 oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui SIDEC Sdn Bhd dan Invest Selangor Berhad.

Kempen ini bertujuan untuk membantu PKS dan perniagaan mikro menerapkan digitalisasi dalam perniagaan mereka untuk terus bertahan dalam situasi ekonomi yang mencabar pasca pandemik Covid-19.

Di samping itu, kempen ini juga akan menyediakan platform yang selamat untuk pengguna membeli pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan secara atas talian.

Adalah diharapkan agar sambutan Tahun Baru Cina diraikan dengan penuh semangat dan kemeriahan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Melalui dua pusingan kempen Selangor E-Bazar di 2020, PKS telah menghasilkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta dari baucar bernilai RM3 juta oleh kerajaan negeri Selangor.

Dari SITEC kepada SIDEC

Ditubuh di bawah Urus Setia Invest Selangor, SITEC dipengerusikan oleh Exco Industri dan Perdagangan YB Dato’ Teng Chang Khim. Melalui pembinaan ekosistem digital yang simbiotik, SITEC mensasarkan agar Selangor ditonjolkan sebagai pusat perniagaan dan perdagangan serantau di Asia Tenggara.

Sejak 2015, SITEC telah berjaya menarik penyertaan 650 saudagar e-dagang dan melatih lebih daripada 9,000 IKS dan individu yang berkeinginan untuk melakukan penjualan atas talian melalui program Kelas E-Dagang, Master Class, Online 100 dan Brands 100.

SITEC telah memupuk 90 buah syarikat tunas rintisan dari tiga kumpulan Selangor Accelerator Programme (SAP) serta telah menganjurkan tiga sesi Pitch@Selangor dan melakukan pitching serta lawatan ke Silicon Valley di San Francisco. SITEC juga telah menarik penyertaan seramai 600 peniaga mikro dan IKS pihak berkuasa tempatan di Selangor melalui siri Jelajah Usahawan Digital Selangor.

Lima tahun sejak penubuhannya, SITEC telah berjaya menghasilkan Nilai Dagangan Kasar (GMV) sebanyak RM334.37 juta melalui pelbagai program berimpak tinggi.

Dalam menambah baik pengurusan program-program SITEC, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan SIDEC Sdn Bhd sebagai sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan.

SIDEC Sdn Bhd berhasrat untuk memacu transformasi digital Selangor sebagai hab digital ASEAN melalui objektif-objektif tersebut:

  1. Memupuk bakat digital Selangor, mengurangkan jurang digital
  2. Memacu syarikat tunas rintisan (startups) sebagai ikon teknologi serantau
  3. Memperkasakan perniagaan Selangor dan pendigitalan PKS
  4. Menggalakkan pelaburan digital di Selangor dan teknologi baharu