+603-5521 8580 info@sidec.com.my

12 April 2021, Shah Alam – Kerajaan Negeri Selangor hari ini telah melancarkan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor bernilai RM5 juta yang bertujuan untuk membantu PKS Selangor mendigitalisasikan perniagaan mereka.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan 50% geran padanan atau maksima RM5,000 kepada setiap PKS untuk melanggan pembekal perkhidmatan digital yang ditetapkan.

Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini berkata keputusan untuk memperuntukkan RM5 juta dalam bentuk geran padanan adalah untuk membantu pendigitalan PKS di Selangor dalam mengharungi cabaran wabak Covid-19.

Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 1,000 PKS Selangor.

“PKS yang kekurangan sumber untuk mendigitalisasikan perniagaan dijemput untuk memohon geran ini demi memperkukuhkan jangkauan digital perniagaan.

“Kerajaan Negeri Selangor sememangnya sentiasa komited dalam agenda digitalisasi untuk membantu PKS ke arah digitalisasi.

“Kerajaan negeri ingin memberi jaminan bahawa para peniaga dan pengguna akan mendapat manfaat dari pelbagai inisiatif dan geran. Diharapkan agar seramai PKS Selangor yang mungkin akan memohon geran dan menikmati manfaat ini.”

Amirudin dalam ucapannya hari ini berkata bahawa agenda digitalisasi adalah penting kerana ia akan menjurus kepada penciptaan ekonomi baharu yang akan menyumbang kepada pencungkilan bakat serta peluang pekerjaan baharu.

“Ekonomi baharu pula adalah perlu untuk kebangkitan semula pasca pandemik Covid-19. Pendigitalan akan meningkatkan daya saing perniagaan serta produktiviti syarikat untuk bangkit berdepan tempoh mencabar akibat Covid-19.

“Daripada memberi subsidi bernilai jutaan ringgit untuk kelegaan sementara, kita seharusnya memberi fokus kepada pembinaan ekosistem yang mapan untuk menggalakkan syarikat tunas rintisan (startup) dan syarikat teknologi untuk berkembang serta membantu mendigitalisasikan ekonomi tradisional untuk meningkatkan produktiviti mereka dan mengurangkan pembaziran.

“Adalah penting untuk kita memupuk usahawan berimpak tinggi yang akan menyumbang kepada inovasi, penciptaan pekerjaan dan kekayaan baharu serta akan memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Exco Industri dan Perdagangan Selangor Dato’ Teng Chang Khim berkata bahawa ruang pengembangan ekonomi digital masih luas.

“Kita masih mempunyai ruang yang luas mengembangkan ekonomi digital kita dengan digitalisasi yang pantas berikutan pandemik Covid-19.”

Merujuk kepada Kempen Selangor E-Bazar Raya 2021 yang akan datang, beliau berkata kempen ini akan memberi peluang kepada PKS untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Seperti kempen yang terdahulu, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM2 juta dalam bentuk baucar subsidi dan menyasarkan kesan riak sebanyak RM700 juta. Kempen tersebut akan berlangsung dari 15 April sehingga 29 Mei 2021.

“Kempen Selangor E-Bazar telah menjana jutaan ringgit melalui jualan terus. Ini telah membuktikan bahawa agenda ekonomi digital yang diterajui oleh kerajaan negeri telah membantu para peniaga menjana lebih banyak pendapatan atas talian ketika wabak Covid-19.”

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Khas Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor Dato’ Ng Wan Peng juga merujuk kepada kepentingan proses digitalisasi untuk sesebuah perniagaan.

“Transformasi digital yang dilaksanakan dengan betul oleh sesebuah perniagaan boleh meningkatkan jualan dengan berlipat kali ganda. Proses digitalisasi bukan sahaja penting, tetapi juga bermanfaat lebih-lebih lagi dengan cabaran akibat Covid-19 bagi PKS di negara ini.

“Transformasi digital harus dimulakan secara dalaman, dan mana-mana pembekal perkhidmatan digital boleh memberi penyelesaian selagi perniagaan itu komited dalam proses tersebut.

“Berhubung dengan isu kos, saya ingin memperbetulkan tanggapan bahawa memulakan transformasi digital memerlukan kos yang tinggi. PKS disarankan untuk memulakan proses digitalisasi secara kecil-kecilan dahulu.”

Geran yang ditawarkan pihak Kerajaan Negeri Selangor merupakan salah satu inisiatif untuk membantu dalam proses digitalisasi ini, tambahnya.

Pembukaan permohonan untuk geran ini bermula jam 12 tengah hari pada 15 April dan akan tutup pada 12 tengah hari pada 15 Mei 2021.

Setakat hari ini, seramai 100 pembekal perkhidmatan digital telah diluluskan untuk memberi penyelesaian digital mereka.

PKS Selangor boleh melanggan perkhidmatan digital dalam lima bidang digitalisasi yang ditawarkan iaitu E-Dagang, Sistem Sumber Manusia (HR and Payroll System), Sistem Perakaunan (Cloud Accounting), Pemasaran Digital dan Sistem Electronic Point of Sale (E-PoS) dan Payment Gateway.

Syarat Kelayakan untuk PKS: 

  • Berdaftar di bawah undang-undang yang berkaitan di Malaysia
  • Syarikat sekurang-kurangnya 51% dimiliki oleh rakyat Malaysia
  • Untuk PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
  • Sudah beroperasi sekurang-kurangnya selama 1 tahun
  • Harus mempunyai perolehan jualan tahunan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
  • Terhad kepada 1 permohonan bagi setiap PKS sahaja. PKS dibenarkan memohon untuk 3 perkhidmatan digital dengan 1 atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan oleh Sidec.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.sidec.com.my/selangorgrant2021/